NEGERI SEMBILAN, NOVEMBER 30: RAYUAN…Datuk Seri Mohamad Hasan memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban yang mengisytharkan keputusan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau terbatal dan tidak sah.

Timbalan Presiden Umno itu memfailkan rayuan melalui peguamnya, Abu Bakar Isa Ramat daripada firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak & Co, hari ini, sebelum tempoh notis rayuan selama 14 hari berakhir petang ini.

Mohamad, yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan, berkata beliau mengambil keputusan untuk merayu setelah mengambil kira pelbagai pertimbangan dan alasan penghakiman secara lisan serta nasihat guaman daripada barisan peguamnya.

“Rayuan ini sebagai benteng terakhir untuk mempertahankan kedudukan saya sebagai wakil rakyat bagi kawasan tersebut serta membebaskan saya daripada sebarang dakwaan salah laku semasa hari penamaan calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14),” katanya pada sidang media di Seremban semalam.

Pada 16 Nov lalu, Hakim Datuk Norazimah Omar, dalam keputusannya, mengisytiharkan keputusan kerusi DUN Rantau pada PRU14 terbatal dan tidak sah selepas membenarkan petisyen yang dikemukakan oleh calon PKR, Dr S Streram.

Norazimah turut mengarahkan pilihan raya kecil (PRK) diadakan dengan segera bagi kerusi berkenaan.

Pada hari penamaan calon, 28 April lalu, Mohamad, calon Barisan Nasional (BN) disahkan menang tanpa bertanding berikutan Dr Streram gagal menghantar borang penamaan calon kerana dihalang masuk ke pusat penamaan kerana tidak mempunyai pas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berikutan itu, pada 23 Mei lalu, Dr Streram, yang juga pakar bius di Pusat Perubatan Nilai, memfailkan petisyen bagi memohon PRK DUN itu diadakan semula kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah.-MY WD