LANGKAWI, 11 FEB – LAYAK….. Layak atau tidak seseorang itu untuk berada dalam kabinet hanya boleh ditentukan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Ini kerana katanya Dr Mahathir mempunyai segala maklumat tentang anggota kabinetnya termasuk kelayakan akademik.

“Semua hal peribadi termasuk maklumat mengenai sijil akademik ada pada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau boleh menentukan individu tersebut perlu dikekalkan di dalam kabinet atau tidak, jadi saya tidak mahu komen apa-apa berkenaan certificate orang lain,” katanya kepada media hari ini.

Mohamad berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada pemimpin kerajaan yang terpalit isu sijil akademik perlu meletak jawatan.

Beliau sebelum itu menyempurnakan Majlis Pengiktirafan Rakan Penaja Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019, di sini.

Pada masa sama, Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berharap rakyat, khususnya pengundi di Dewan Undangan Negeri Semenyih yang bakal berdepan pilihan raya kecil bulan depan, tidak terpengaruh dengan isu berkenaan.

Katanya, rakyat seharusnya tidak lupa pada isu lebih besar seperti curi wang negara. – WD MY