KLANG, 8 SEPT – FIKIR…. Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berkata kerajaan masih dalam proses berunding berhubung tawaran Rusia untuk mengambil kembali jet pejuang milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang bermasalah.

“(Perkara) itu masih dalam siasatan dan rundingan kerajaan, kita kena lihat kesesuaiannya dan kemampuan negara kita juga,” katanya.

Jelas Mohamad, peralatan tentera Malaysia semakin uzur dan perlukan penggantian yang sebaiknya.

“Memang barang kita (peralatan tentera) sebenarnya telah usang dan perlu penggantian di mana yang diganti itu bergantung kepada rundingan seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media acara larian Run For Peace di Padang Besar Taman Klang Jaya, Klang Selangor.

Terdahulu, Rusia menawarkan untuk mengambil balik 28 jet pejuang jenis Sukhoi Su-30MKM dan MIG-29 milik TUDM yang bermasalah jika Malaysia sedia menggantikannya dengan pesawat baru buatan negara itu. – WD MY