KOTA BHARU, 4 NOV – TUNGGU… Kementerian Pertahanan akan mendapatkan pandangan Peguam Negara sama ada perlu mengambil tindakan undang-undang berhubung pembelian enam helikopter tempur ringan jenis MD 530G bernilai RM300 juta yang masih belum diterima.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata pihaknya sepatutnya mula menerima helikopter pertama pada November 2017, namun sehingga kini masih belum terima walaupun sebuah.

Katanya, pembayaran sudah dibuat sebanyak RM112 juta iaitu 35 peratus dan bayaran selebihnya akan dilakukan sebaik penghantaran helikopter berkenaan mempunyai kemajuan.

“Buat masa ini kementerian sedang membuat penyelesaian dengan Kementerian Kewangan dan Peguam Negara. Kita akan membuat keputusan dalam masa terdekat berdasarkan nasihat Peguam Negara.

“(Tindakan undang-undang) itu akan tunggu pandangan Peguam Negara. Kita akan bincang perkara ini nanti,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) peringkat Kelantan, malam tadi.

Mohamad pada 30 Oktober dilaporkan berkata, kerajaan mungkin perlu ke mahkamah berhubung isu helikopter tempur ringan MD530G yang dikeluarkan MD Helicopters dari Amerika Syarikat kerana belum dihantar.

Sebelum ini, sebuah portal berita melaporkan ATM didakwa belum menerima enam helikopter tempur ringan jenis MD 530G bernilai RM300 juta, yang mana urus niaga perolehan aset itu dibuat oleh pentadbiran terdahulu.

Portal berkenaan yang memetik sumber rapat dengan penyiasatan ke atas dakwaan rasuah dan salah urus dalam pembelian aset pertahanan, melaporkan helikopter juga dikenali dengan nama ‘Little Birds’ terbabit didakwa ditempah Kementerian Pertahanan ketika itu. -WD MY