Matta Fair 2017 – Sambutan Meriah Pada Hari Pertama

0
448

KUALA LUMPUR, 8 Sept – MERIAH…. Pameran Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) 2017 yang bermula hari ini menerima sambutan yang luar biasa daripada pengunjung.

MATTA Fair diserbu pengunjung sejurus dibuka mulai jam 10 pagi hingga 9 malam.

Semua ruang pameran sesak dengan pengunjung yang tidak melepaskan peluang mendapatkan tawaran pakej pelancong menarik.

Rata-rata pempamer yang ditemui ‘tidak cukup tangan’ menerima sambutan luar biasa dari pengunjung yang hadir.

Pengurus Pemasaran dan Jualan Selamatbercuti.com, Bashrafi Rahman, menyifatkan sambutan pengunjung amat menggalakkan dan meriah.

“Tahun ini adalah kali ketiga kami terbabit. Sambutan pengunjung hari ini amat luar biasa. Jika tahun sebelum ini, hari pertama tidak begitu ramai, namun hari ini kami dibanjiri pengunjung.

“Walaupun baru hari pertama, kami terima kunjungan orang awam tanpa henti. Malah, hari ini (semalam) sahaja, kita berjaya menerima banyak tempahan pelancongan, terutamanya bagi pakej destinasi ke Turki.” katanya ketika ditemui.

Beliau menyifatkan MATTA Fair sebagai platfom terbaik dalam membantu agensi tempatan mengembangkan perniagaan mereka.

Agensi luar negara, Jabatan Pelancongan dan Kebudayaan Jambi, Indonesia yang pertama kali terbabit dengan MATTA Fair, berpendapat program itu membantu rakyat Malaysia mengenali keunikan negara lain.

“MATTA Fair amat membantu kami dalam mempromosikan sektor pelancongan Jambi. Biarpun baru pertama kali terbabit, sambutan pengunjung ke kaunter kami amat menggalakkan,

“Malah, ramai rakyat Malaysia berminat untuk melancong ke Jambi. Dengan sambutan sebegini, menunjukkan acara begini wajar dianjurkan lebih kerap.”

Sementara itu, pengunjung yang ditemui berpendapat pameran tahun ini lebih menarik berbanding edisi yang yang lalu.

Acara yang memasuki edisi ke-44 itu, menampilkan 160 ejen pelancongan berlesen dan 1,314 gerai pempamer di tujuh ruang pameran.

Ruang pameran dibuka di Dewan 1, Dewan 1M, Dewan 2, Dewan 3, Dewan 4, Dewan 5 dan jambatan penghubung PWTC.

Pelbagai gerai pempamer percutian domestik dan antarabangsa menawarkan aneka pakej termasuklah pakej hotel, pelayaran dan taman tema.

Pengunjung turut berpeluang memenangi hadiah pakej percutian lumayan menerusi peraduan dengan pembelian minimum RM300 atau RM100, masing-masing bagi pakej percutian antarabangsa dan domestik.

Baucar perjalanan bernilai RM5,000, RM3,000 dan RM1,000 sebagai tiga hadiah utama peraduan bagi pemenang pakej pelancongan tempatan yang ditaja MATTA.

Manakala pemenang peraduan pakej pelancongan antarabangsa pula ialah dua tiket penerbangan dua hala Emirates Airlines (Emirates) dari Kuala Lumpur ke Dubai yang ditaja Superjet Sjt Group Dubai. – WD MY