MELAKA, 6 April – Dua beradik maut selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki bersama bapa dan kakak mereka terbabas di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) di Bukit Lintang, Kandang, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, mangsa yang juga kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia 11 dan sembilan tahun mati di tempat kejadian akibat cedera parah dan tersepit dalam kenderaan berkenaan.

Kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk hadapan dan belakang kenderaan jenis Toyota Hilux itu.

Difahamkan, empat beranak berkenaan dalam perjalanan dari Muar, Johor ke Bandaraya Melaka sebelum kenderaan mereka terbabas ke bahu jalan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, Penolong Kanan Penguasa Bomba Alias Ahmad, berkata sepasukan lapan anggota dikejarkan ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 12.14 tengah malam.

“Sejurus tiba, anggota bomba mendapati sebuah Toyota Hilux terbalik mengiring ke kiri longkang.

“Seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun sempat menyelamatkan diri selepas kemalangan itu,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Alias berkata, bapa mangsa turut tersepit di dalam kenderaan bersama dua lagi anaknya yang sudah meninggal dunia.

“Tiga beranak itu berjaya dikeluarkan dalam tempoh 17 minit dan dikejarkan ke Hospital Melaka,” katanya. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY