KOTA KINABALU, 25 Mei – MAUT….. Tiga lelaki maut, enam cedera manakala dua lagi selamat apabila bot penumpang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lagi bot penumpang dekat Kampung Pondo, Pulau Gaya, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam itu, mayat ketiga-tiga mangsa yang masih belum dikenal pasti setakat awal pagi tadi, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di bahagian kepala.

Enam lagi mangsa cedera diselamatkan oleh beberapa pemandu bot penumpang yang melalui kawasan berkenaan, sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, bot membawa sembilan penumpang itu dari Pulau Gaya menuju ke Jeti Safma, di sini, manakala sebuah lagi bot tanpa penumpang terbabit dipercayai datang dari arah bertentangan.

Bagaimanapun, pemandu bot tanpa penumpang dipercayai melarikan diri dari tempat kejadian selepas insiden berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman, ketika ditemui di lokasi kejadian berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

“Setakat ini, polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan pengesahan berhubung butiran diri ketiga-tiga mangsa,” katanya. – WD MY