KUALA LUMPUR, 15 Mei – MAUT…… Lelaki maut dipercayai lemas ketika mencari kayu di kawasan Air Terjun Lata Hammer, Bentong, Pahang, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, Mohd Ammar Ariff, 26, dikatakan berada di lokasi terbabit bersama tiga lagi rakannya.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Sani Harul, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.12 pagi.

“Seramai 11 pegawai dan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bentong dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi itu, kami melakukan pencarian di permukaan air terjun berkenaan. Pada jam 3.10 petang, kami berjaya menemukan mangsa kira-kira 20 meter dari lokasi dia dikatakan terjatuh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa mangsa ke kawasan air terjun itu bersama tiga rakan untuk mencari kayu.

“Ketika kejadian, mangsa dipercayai terjatuh dan hilang dihanyutkan arus deras sebelum seorang daripada rakannya melaporkan kepada pihak polis,” katanya.

Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – WD MY