MEXICO CITY, 2 Okt – Mayat Dalam Tasik…..Tiga belas mayat dijumpai di atau sekitar Tasik Chapala di barat Mexico.

Ketua pendakwa raya negeri Jalisco, Eduardo Almaguer, memberitahu saluran televisyen Milenio, mangsa adalah anggota kumpulan penjenayah dari komuniti berhampiran.

Beliau berkata, mereka dibunuh bekas sekutu jenayah di negeri Michoacan pada atau sekitar 21 September lalu.

Mayat 12 lelaki dan seorang wanita itu dibuang ke dalam sungai yang mengalir ke tasik. Mayat mereka ditemui di bahagian tasik di bandar Chapala yang popular dalam kalangan pelancong dan pesara Amerika Syarikat.

Semalam, seorang anggota tentera maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan penjenayah di tengah negeri Guanajuato, sehari selepas lima askar terbunuh dalam serangan hendap di negeri Sinaloa.

Pejabat pendakwa raya Guanajuato menyatakan, polis dan tentera mengejar konvoi tiga kenderaan penyerang bersenjata di bandar Comonfort, apabila pertempuran berlaku dan anggota tentera ditembak mati.

Ia tiada kaitan dengan serangan pada Jumaat ke atas konvoi tentera di Sinaloa, yang berkemungkinan dilancarkan untuk membebaskan suspek dadah cedera yang dipindahkan dengan ambulans yang dikawal konvoi itu.

Dalam ucapan semalam, Setiausaha Pertahanan, Jeneral Salvador Cienfuegos, menggunakan bahasa kesat untuk menggambarkan penyerang yang menggunakan bom tangan untuk menyerang konvoi tentera.

“Tentera kita diserang hendap oleh haiwan yang gila,” katanya. – WD MY

LEAVE A REPLY