KUALA LUMPUR, 30 Dis – Mayat dipercayai Kapten Hasman Hussin yang hilang selepas kenderaan dinaikinya bersama empat rakan dihanyutkan air deras di Missouri, Amerika Syarikat (AS), Sabtu lalu, sudah ditemui.

Sel Perhubungan Tentera Darat menerusi satu kenyataan media sebentar tadi mengesahkan Markas Tentera Darat (TD), menerima maklumat terkini daripada Penolong Penasihat Pertahanan Kedutaan Malaysia di Washington berhubung penemuan mayat terbabit dipercayai Hasman.

“Menurut Pegawai Perhubungan Awam Kolej, Charlie Rodges, jenazah ditemui Isnin lalu pada jam 11 pagi waktu Missouri, namun identitinya belum dikenal pasti.

“Jenazah dibawa ke rumah mayat Hospital Fort Lenonard Wood,” katanya.

Beliau berkata, keluarga mangsa sudah dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Pegawai Kanan TD menerusi satu lawatan pagi tadi ke rumah Allahyarham di FELDA Palong, Negeri Sembilan dan Masjid Tanah, Melaka.

“Pihak TD sedang berusaha menguruskan pergerakan waris terdekat mangsa ke AS bagi tujuan proses pengecaman.

“Urusan membawa balik jenazah akan dilakukan secepat mungkin dengan kerjasama pihak kedutaan Malaysia di AS dan kedutaan AS di ibu negara,” katanya.

BH sebelum ini melaporkan, Hasman, 34, yang juga pegawai Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) bersama empat tentera negara lain dilaporkan hilang selepas kenderaan dinaiki mereka dihanyutkan air deras di Missouri, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, kereta mereka cuba mengharungi laluan dinaiki air sebelum dihanyutkan.- Sofea Nawa (WD MY)

LEAVE A REPLY