ATHENS, 8 OGOS – TEMUI….. Mayat seorang saintis British ditemui di dalam gaung di pulau Ikaria, Greek dua hari selepas dilaporkan hilang, kata televisyen awam Greek semalam.

Punca kematian ahli astrofizik, Natalie Christopher yang berpangkalan di Cyprus dan sedang bercuti dengan pasangannya belum dapat disahkan, kata saluran ERT.

Polis giat mencari wanita berusia 35 tahun itu selepas dia dilaporkan tidak pulang ke hotel selepas keluar untuk berjoging Isnin lalu.

Menurut media Greek dan Cyprus, Christopher dan teman lelaki berusia 38 tahun tiba di pulau Aegean Sabtu lalu dan menginap berhampiran pelabuhan Agios Kirykos.

Insiden itu berlaku tiga minggu selepas pembunuhan seorang ahli biologi molekul Amerika Syarikat (AS) Suzanne Eaton di pulau Crete, Greek.

Mayatnya ditemui enam hari kemudian di sebuah kubu era Perang Dunia ke-2 berhampiran bandar Hania.

Seorang petani berusia 27 tahun mengaku merogol dan membunuh Eaton, seorang kakitangan Institut Max Planck di Universiti Dresden, Jerman. – WD MY