KANGAR, JAN 6: SUAMI ISTERI…Mayat sepasang suami isteri yang dipercayai lemas selepas terjatuh dari sebuah bot fiber ditemui dalam keadaan menyayat hati dengan kedua-duanya berpelukan antara satu sama lain di kawasan tukun 300 di perairan Kuala Perlis dekat sini semalam

Mayat Mohamad Zaini Panjang Karim, 55, dan isterinya, Azizah Yatim, 49, ditemui tersangkut pada pukat oleh penduduk kampung yang turun ke laut untuk mencari mereka kira-kira pukul 3.30 petang.

Kedua-dua mereka dipercayai terjatuh ke dalam laut ketika dalam perjalanan pulang selepas keluar menangkap ikan dan ketam pada pukul 6.30 pagi.

Seorang pemancing yang mahu dikenali sebagai Mad berkata, dia yang turun ke laut untuk memancing ternampak sebuah bot bergerak sendiri tanpa pemandu dan penumpang kira-kira pukul 1.50 petang.

“Saya terus pulang dan membuat laporan kepada Maritim Malaysia (APMM) berhubung kejadian kerana bimbang berlaku perkara buruk,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, dia kemudian dimaklumkan dua mayat iaitu pasangan suami isteri telah ditemui tersangkut pada pukat dalam keadaan berpelukan.

“Salah seorang mangsa mungkin terjatuh menyebabkan seorang lagi terjun ke dalam laut untuk selamatkan pasangan sebelum kedua-duanya mati lemas,” ujarnya.

Sementara itu, anggota unit Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Perlis, Malid Abdullah berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa pasangan suami isteri tersebut masih dilihat melakukan aktiviti menangkap ikan pada pukul 12 tengah hari.

“Mereka kemungkinan terjatuh selepas itu setelah ada pemancing yang melihat bot mangsa bergerak sendiri tanpa penumpang,” katanya.

Tambahnya, keadaan laut pada hari ini baik dan kejadian bukan disebabkan angin kencang susulan daripada tempias ribut tropika Pabuk.-MY WD