KUALA LUMPUR, 22 April – Maybank Islamic Bhd menjangka sebahagian
besar pemegang akaun deposit Mudarabahnya mengelaskan semula akaun mereka kepada
Akaun Pelaburan Mudarabah (IA), sebagai mematuhi keperluan Bank Negara Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Muzaffar Hisham berkata 350,000 pelanggan produk
deposit Mudarabah sedia ada bank itu diberikan tempoh sehingga 31 Mei, 2015,
untuk memberi persetujuan sama ada akaun mereka dikelaskan semula sebagai IA
atau produk deposit patuh Syariah lain.

Beliau menjangkakan kira-kira 70-80 peratus pelanggan membuat pertukaran itu
kerana IA merupakan satu keperluan pematuhan kepada Akta Perkhidmatan Kewangan
Islam 2013 bank pusat.

Berkuat kuasa pada 16 Jun, 2015, dan akan menyaksikan bank itu melabur
dalam pelbagai portfolio aset dengan pengekalan modal menjadi objektif utama
bagi pengurusan IA.

“Pelanggan mempunyai pilihan untuk tidak memberi respons kepada tarikh akhir
itu.

“Jika mereka tidak memberi jawapan sehingga tarikh akhir itu atau
menunjukkan mereka tidak memilih akaun pelaburan, mereka akan dikelaskan semula
kepada deposit patuh Syariah lain termasuk Wadiah,” katanya.

Muzaffar berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pengumuman akaun
pelaburan Mudarabah itu, hari ini.

Beliau berkata ciri-ciri terkini deposit akaun semasa dan simpanan (CASA)
terdiri daripada keuntungan indikatif sifar hingga dua peratus setahun manakala
kekerapan pembayaran keuntungan adalah sama ada setiap bulan, setengah tahun
atau setiap tahun.

“Di bawah Akaun Pelaburan, kami menyasar pulangan berpotensi antara
1.0 peratus dan 3.5 peratus bagi CASA berdasarkan kepada prestasi dana dan
keuntungan akan dibayar setiap bulan,” kata Muzaffar.

Bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Dis, 2014, jumlah aset Maybank
Islamic berkembang 17 peratus tahun ke tahun kepada RM146.4 bilion.- Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY