KUALA LUMPUR, 22 Feb – SASAR….. Perbankan Maybank menyasar peningkatan jumlah transaksi kad debit meningkat kepada 100 juta bernilai lebih daripada RM17 bilion tahun ini.

Ketua Kad Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti (CFS) Maybank, B. Ravintharan, berkata sasaran itu adalah 57 peratus lebh tinggi berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, pada tahun 2017, Maybank menyaksikan peningkatan ketara dalam jumlah transaksi kad debit pada tahun dengan mencatatkan lebih 65 juta transaksi bernilai lebih RM11 bilion.

“Produk kad debit kami telah berkembang menjadi lapan varian produk yang berbeza dengan lebih sembilan juta pemegang kad debit yang aktif.

“Jumlah pengguna kad debit Maybank juga semakin meningkat sejak beberapa tahun lalu dengan peningkatan purata tahunan yang dicatatkan adalah sebanyak 22 peratus,” katanya kepada media selepas majlis pelantikan rasmi duta kad debit Maybank hari ini.

Hadir sama pada majlis itu adalah Ketua CFS Maybank, Datuk Hamirullah Boorhan.

Dua selebriti terkemuka yang juga pasangan suami isteri, Fattah Amin dan Fazura dilantik sebagai duta jenama rasmi kad debit Maybank.

Kerjasama selama setahun antara Maybank dan pasangan berkenaan bertujuan mempromosikan penggunaan transaksi tanpa tunai di kalangan orang ramai terutamanya golongan muda.

Mengulas lanjut, Ravintharan berkata 62 peratus daripada bil debit Maybank disumbangkan oleh segmen profesional muda.

“Mereka mewakili golongan yang berumur antara 21 hingga 40 tahun yang juga dikenali sebagai Gen-Y. Maybank juga muncul sebagai peneraju perniagaan kad debit dengan pegangan pasaran sebanyak 37.4 peeratus dalam bil kad debit,” katanya.

Serentak dengan pelantikan berkenaan, Maybank melancarkan kempen penggunaan kad debit selama tiga bulan sehingga 15 Mei depan.

Kempen ini terbuka kepada semua pemegang baharu dan sedia ada kad debit Maybank dengan perbelanjaan minimum sebanyak RM250 dalam satu resit. Ia turut menawarkan pakej percutian bersama Duta Jenama Kad Debit kepada lima pasangan yang bertuah. – WD MY