KUALA LUMPUR, 10 Mac – Maybank berhasrat mengembangkan pembiayaan kepada segmen Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Runcit (RSME) serantau secara agresif.

Ia berikutan kejayaannya di Malaysia yang mencatat pinjaman kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) lebih 30 peratus sejak pelaksanaan struktur baru RSME pada 2013.

Pada masa sama, kumpulan itu juga berhasrat meningkatkan pertumbuhan pembiayaan mikro di Malaysia ketika ia meneroka potensi perniagaan kecil yang juga sedang berkembang pesat.

Bercakap pada taklimat media di sini, pagi ini, Ketua Kumpulan, Perkhidmatan Kewangan Komuniti (CFS) Maybank, Datuk Lim Hong Tat, berkata segmen RSME adalah bahagian penting bagi operasi perniagaan runcit Maybank sejak perniagaan itu disusun semula pada 2011 bagi memanfaatkan rangkaian pengedaran kumpulan itu.

RSME merujuk kepada sektor perniagaan dengan perolehan tahunan sebanyak RM25 juta dan nilai pinjaman RM5 juta.

“Perniagaan SME adalah segmen perniagaan kami yang baharu, diwujudkan kerana kita mengenal pasti ia mempunyai potensi besar semasa kami memulakan program transformasi CFS pada 2011.

“Sejajar dengan ini, kami memperkenalkan pelbagai inisiatif seperti menyediakan akses pusat rujukan yang meluas bagi akses yang lebih baik; masa pemprosesan pinjaman yang lebih cepat; pakej produk inovatif dan proses yang lebih memudah,” katanya.

Hong Tat berkata, hari ini inisiatif Maybank membuahkan hasil dengan jumlah pinjaman PKS di Malaysia meningkat dua kali ganda dalam tempoh lima tahun lalu kepada RM10.2 bilion pada Disember 2015 manakala deposit meningkat hampir 50 peratus kepada RM58.4 bilion.

“Kami juga mempunyai satu daripada masa pusingan pemprosesan pinjaman paling pantas dalam industri dan kami mahu terus mengembangkan segmen ini bukan sahaja melalui sokongan pembiayaan, juga melalui inisiatif berunsur mendidik untuk komuniti ini termasuk mengadakan jelajah pameran, seminar dan program celik kewangan,” katanya.

Beliau berkata, kumpulan itu kini menumpukan kepada usaha membina portfolio RSME di peringkat serantau memandangkan terdapat peningkatan tumpuan terhadap segmen PKS di negara kumpulan itu beroperasi.

Ia bagi memanfaatkan peluang daripada pembentukan Komuniti Ekonomi ASEAN, katanya.

Ekonomi ASEAN dikuasai segmen PKS yang menawarkan kira-kira 50 peratus daripada peluang pekerjaan dan kira-kira 40 peratus daripada purata KDNK.

“Industri PKS itu sendiri berkembang antara 8 hingga 28 peratus CAGR di pasaran ini dan menawarkan potensiyang belum diteroka,” katanya.

Menerusi francais konsumer Maybank yang sedia ada di Singapura, Indonesia, Filipina, Kemboja, Laos dan Brunei, kumpulan ini sudah beransur-ansur memperkenalkan model RSME di negara terbabit bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Dengan prospek kukuh PKS di rantau ini, Maybank menjangka jumlah portfolio pinjaman RSME akan berkembang kepada RM28 bilion tahun ini daripada RM22.10 bilion pada akhir 2015, katanya. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY