SEREMBAN, FEB 3: DITARIK BALIK…Datuk Seri Aminuddin Harun mengakui peruntukan yang telah diluluskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 2016 bagi pembinaan sebuah masjid baharu dekat pinggir bandar IOI di Jempol telah ditarik balik.

Menteri Besar itu bagaimanapun menafikan pembinaan masjid untuk kemudahan lebih 10,000 umat Islam yang tinggal di enam taman perumahan dekat Bahau itu telah dibatalkan.

Sebaliknya, beliau memberitahu, kerajaan negeri sedang menyemak semula kos pembinaan masjid itu secara keseluruhan termasuk tapak yang telah diserahkan oleh pemaju kepada kerajaan.

“Kita hendak lihat sama ada tapak itu sendiri sesuai atau tidak. Beberapa tapak masjid yang diserahkan kepada kerajaan sebelum ini didapati tidak sesuai seperti kawasan paya dan kos tambahan diperlukan untuk kerja tapak sahaja.

“Rancangan pembinaan masjid di Jempol ini tidak dibatalkan. Malah dalam beberapa kes seperti di Nilai Impian dan Taman Bukit Kepayang yang ditarik balik peruntukan, tetapi kemudian diluluskan semula dengan tambahan peruntukan lebih besar selepas melihatkan kepada keperluan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Pertandingan Kaligrafi Cina 2019 dan Penyampaian Sumbangan di Sekolah Tinggi Chung Hua.

Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia semalam mengenai pembinaan masjid di kawasan seluas 2.2 hektar itu yang didakwa sudah mendapat peruntukan daripada ICU JPM sebanyak RM7.17 juta pada 2016.

Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd. Salim Mohd. Sharif berkata, beliau difahamkan bahawa peruntukan itu telah ditarik balik selepas pembentangan Belanjawan 2019 tahun lalu.

Aminuddin menarik perhatian, terdapat dua buah masjid di Bahau yang boleh digunakan oleh umat Islam untuk beribadah serta menjalankan aktiviti berkaitan dan pembinaan masjid baharu tidak sepatutnya dijadikan isu.

“Jangan jadikan hal ini sebagai isu politik yang tidak habis-habis. Ia menjadi satu masalah jika dijadikan sentimen secara berterusan. Peruntukan masjid baharu itu bukan dibatalkan tetapi kerajaan sedang meniliti keutamaan daripada pelbagai aspek,” ujarnya.-MY WD