KULAI, 14 FEB – TAMAT….. Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, menegaskan beliau pernah mengikuti Pengajian di Kolej Pertanian Malaya, sebelum ia dinaik taraf kepada Universiti Pertanian Malaysia (UPM).

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, berkata bagaimanapun beliau tidak menamatkan pengajian ketika menuntut di kolej berkenaan.

“Untuk makluman, saya pernah mengikuti pengajian di Kolej Pertanian Malaya sebelum dinaik taraf kepada UPM, namun tidak menamatkan pengajian.

“Adalah di luar pengetahuan saya apabila muncul di beberapa laman sesawang yang mengatakan saya berkelulusan Diploma dan Ijazah Perakaunan daripada UPM.

“Oleh itu, saya dengan penuh rasa rendah diri memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia terhadap kekeliruan dan salah faham berhubung kelayakan akademik saya,” katanya ketika ditemui media.

Osman berkata, atas rasa tanggungjawab, beliau mengarahkan semua maklumat berkaitan kelulusan Diploma dan Ijazah Perakaunan UPM diturunkan (dipadam) serta merta daripada mana-mana laman sesawang rasmi.

“Saya harap (isu ini) tidak perlu diperbesarkan lagi mana-mana pihak,” katanya.

Ahad lalu, Osman memberitahu akan mengeluarkan kenyataan berhubung isu memiliki ijazah palsu yang viral di laman sosial. – WD MY