KUALA LUMPUR, OKTOBER 25: Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menegaskan hasil negeri itu mencukupi untuk membayar emolumen (gaji) kakitangan awam negeri.

Jelas mempertahankan Kelantan daripada dakwaan gagal mengurus kewangan negeri dengan baik seperti didakwa Menteri Kewangan Lim Guan Eng Ahmad berkata hasil tanah, hutan dan mineral Kelantan mencukupi untuk pembayaran gaji petugas berkaitan.

Katanya surat daripada pegawai kewangan kepada Putrajaya dibuat mengikut ruang yang disediakan melalui peruntukan Pendahuluan Boleh Dituntut.

Katanya hak itu memang diberikan kepada negeri dan tidak terhad kepada Kelantan semata-mata.

“Hakikatnya, kerajaan negeri melalui hasil tanah, hutan dan mineral mencukupi untuk menampung pembayaran emolumen dan gaji kakitangan awam.

“Namun, apa yang dipohon oleh Kelantan ialah Pendahuluan Boleh Dituntut.

“Ia dibuat bagi menampung keperluan aliran tunai di negeri-negeri yang memerlukan.

“Ia satu amalan biasa dalam sistem persekutuan di negara kita,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Kota Bharu, hari ini.

Menteri Kewangan menjelaskan mengenai isu bantuan kewangan dipohon Kelantan di parlimen semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Lim yang menyatakan negeri Kelantan tidak mampu menampung pembayaran gaji kakitangan awam sehingga terpaksa memohon bantuan kerajaan persekutuan.

Ia bermula apabila Anggota Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan menanyakan pendirian kerajaan pusat jika Kelantan dan Terengganu mengambil inisiatif sendiri menyiapkan Rangkaian Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Menjawab kenyataan Takiyuddin, Lim secara sinis berkata tidak dapat dipastikan bagaimana Kelantan dan Terengganu mampu melaksanakan projek terbabit kerana mereka terpaksa bergantung kepada pusat untuk membayar gaji kakitangan awam negeri.-MY WD