SEREMBAN, 26 MAC – LETAK JAWATAN….Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun meletakkan jawatan sebagai presiden Kelab Golf Antarabangsa Seremban (SIGC) susulan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) SIGC semalam memutuskan penarikan semula larangan penjualan minuman keras di kelab golf itu.

DALAM laporan Utusan Online, Aminuddin berkata beliau akan menulis surat peletakan jawatan tersebut dalam tempoh terdekat bagi menghormati keputusan yang telah dibuat dalam mesyuarat berkenaan.

“Dalam perlembagaan (SIGC) letak (tulis) boleh jual arak. Dalam perlembagaan juga letak saya sebagai presiden. Tapi saya akan letak jawatan sebagai menghormati keputusan.

“Saya belum sempat tulis (surat letak jawatan). Dalam masa terdekat saya akan tulis, tetapi pada dasarnya saya telah letak jawatan,” katanya, petik laporan akhbar itu.

EGM kelab itu sebulat suara menolak larangan dikenakan Aminuddin yang dikuatkuasakan pada Ogos tahun lepas.

Mesyuarat malam tadi dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr Razali Ab Malik yang juga naib presiden SIGC.

Bagaimanapun Aminuddin tidak hadir mesyuarat berkenaan.

Aminuddin sebelum ini menafikan dakwaan mengatakan beliau mengharamkan penjualan minuman keras di SIGC dan menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat secara muafakat oleh jawatankuasa SIGC.

Sin Chew Daily pada 22 Mac lalu memetik Aminuddin sebagai berkata perkara itu telah dibincangkan dalam jawatankuasa SIGC sebanyak dua kali dan persetujuan dicapai menetapkan alkohol tidak boleh dijual di kelab berusia 67 tahun itu.

Dilaporkan padang golf itu milik kerajaan negeri, manakala rumah kelab dan kemudahan sukan lain dimiliki 1,500 ahli SIGC.

Aminuddin pada 21 Mac lalu menegaskan beliau akan melepaskan jawatan Presiden SIGC sekiranya EGM berkenaan memutuskan untuk menjual semula arak di kelab tersebut.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Agama Islam negeri menjelaskan larangan itu bagi menjaga sensitiviti kerana kelab golf itu terletak berhampiran masjid dan kawasan perumahan majoriti umat Islam. WD MY