IPOH 13 Feb – LULUS…. Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengakui kelulusan permit ke atas sebuah syarikat bagi mengusahakan pembangunan ladang hutan seluas 400 hektar di daerah Kinta di sini pada Disember lalu tidak melalui proses tender terbuka.

Ahmad Faizal sebaliknya berkata, ia diluluskan sewaktu Mesyuarat Pasukan Petugas Jawatankuasa Perhutanan yang dipengerusikan olehnya selain dihadiri oleh Pengarah dan Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan negeri serta dua ahli exco kerajaan negeri.

Dua exco tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Paul Yong Choo Kiong dan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi.

“Syarikat tersebut kita melihat daripada ulasan jabatan yang menunjukkan kemampuan pengarah-pengarahnya sebagai berpengalaman luas dalam usaha (membangunkan) ladang hutan.

“Selain kemampuan syarikat, kita juga mendapat maklumat bahawa ia berkerjasama dengan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), jadi agak kukuh untuk kita berikan kelulusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan surat lantikan Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) negeri serta pengumuman penambaikan dasar perumahan kerajaan negeri di sini hari ini.

Ahmad Faizal diminta mengulas mengenai pemberian permit tersebut ke atas sebuah syarikat berkenaan yang didapati menggunakan alamat sebuah firma guaman di Taiping, seperti didakwa UMNO Perak semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, beliau percaya firma guaman itu mungkin bertindak sebagai setiausaha kepada syarikat berkenaan.

“Anda beritahu saya apakah itu suatu kesalahan bagi satu pejabat berkongsi dengan beberapa buah syarikat? Saya rasa ia agak normal, kalau itu satu kesalahan, saya tiada maklumat atau pengetahuan mengenainya,” katanya.

Diminta mengulas tindakan Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su Keong Siong dari Pakatan Harapan sendiri yang membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya siasatan dijalankan ke atas syarikat berkenaan, Ahmad Faizal menyifatkannya sebagai satu tindakan cukup baik.

“Pada pandangan saya, ia terserah kepada SPRM untuk menjalankan siasatan, malahan, saya gesa untuk dijalankan siasatan dengan sebaik mungkin bagi memastikan tiada perkara yang tidak betul dijalankan oleh kerajaan Pakatan Harapan di negeri Perak ini,” katanya. – WD MY