LUMUT, 10 FEB – ULAS….. Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, mahu menyemak surat kelulusan permit projek pembangunan ladang hutan seluas 400 hektar di dua lokasi di negeri itu kepada sebuah syarikat, yang viral sejak semalam.

Beliau berkata, pihaknya tidak mengetahui perkara sebenar status permit berkenaan dan perlu merujuk dengan pihak yang berkaitan.

“Saya tidak tahu hujung pangkal (surat yang viral), saya tidak boleh cakap (mengulas lanjut), saya perlu periksa dulu dengan pihak Pejabat Tanah (Pejabat Tanah dan Galian) serta Pejabat Hutan (Jabatan Perhutanan).

“Benda-benda (perkara) macam ini saya kena periksa betul-betul dulu.. ada yang kata hutan ‘de-gazetted’ (dikeluarkan daripada pewartaan hutan simpan) itu saya yang buat, ada yang kata (dari) 2015. Jadi, biar saya semak dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Lou Sang Terpanjang di Perak di Marina Island petang semalam.

Surat yang viral di media sosial memaklumkan, Kerajaan Perak, melalui Mesyuarat Jawatankuasa Sumber Hasil Hutan Negeri Perak Bil 2/2018 pada November 2018, meluluskan kawasan seluas 400 hektar kepada syarikat berkenaan bagi tujuan Projek Pembangunan Ladang Hutan.

Surat yang bertarikh 14 Disember 2018 itu menyatakan kelulusan permit penggunaan bagi tujuan projek pembangunan ladang hutan dalam Hutan Simpan Kledang Saiong dan Hutan Simpan Bukit Kinta Daerah Hutan Kinta Manjung.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat kes penerokaan haram berhampiran Bukit Kledang di Ipoh, susulan laporan polis oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) terhadap kerajaan negeri berhubung isu pencerobohan tanah dan membiarkan pembersihan hampir 10 hektar hutan bagi penanaman kelapa sawit di kawasan bukit berkenaan.

Katanya, beliau tidak mahu mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan bagi mengenalpasti pihak yang bertanggungjawab melakukan pencerobohan kawasan cerun bukit itu.

“Bagi pihak kerajaan negeri, kita sudah mengambil tindakan segera sebaik saja pencerobohan itu didedahkan dengan menutup kawasan itu dan mendapatkan khidmat polis bantuan untuk mengawal lokasi berkenaan.

“Tumpuan kita sekarang adalah untuk memulihkan semula kawasan yang terjejas akibat penerokaan haram,” katanya.

Pada sidang media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh (IPD) hari ini, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, R Mohanarani, dipetik berkata laporan itu dibuat berdasarkan kenyataan dikeluarkan Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) yang menyatakan mereka tidak tahu kegiatan pencerobohan selain perancangan mereka untuk pembangunan di kawasan sama.

Beliau dilaporkan berkata adalah mustahil pihak berkuasa seperti Jabatan Perhutanan, Pejabat Tanah dan Galian, Pejabat Tanah dan Daerah serta polis tidak memerhatikan pemusnahan kawasan hutan seluas 10 hektar yang berlaku di depan mata dan membabitkan sebilangan besar jentera berat.

Lebih menghairankan, orang awam sendiri sudah mula sedar bahawa satu kawasan luas di lereng Bukit Kledang dibersihkan secara tiba-tiba pada hujung Januari lalu. – WD MY