Shah Alam, 11 Julai – NAFI….Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menafikan dakwaan yang mengaitkan beliau dengan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) wanita dari negeri ini.

Amirudin berkata beliau telah berbincang dengan peguamnya dan akan mengambil tindakan sekiranya perlu.

Dakwaan itu dilaporkan timbul berdasarkan rakaman kamera litar tertutup yang dikatakan di sebuah hotel di Sandakan, Sabah pada 11 Mei lalu.

“Saya yakin saya tiada di lokasi yang dikaitkan dalam tuduhan itu, malah pada waktu itu saya berada di Kuala Lumpur,” katanya.

Amirudin berkata beliau tidak tahu mengapa beliau menjadi sasaran dan menegaskan beliau tidak pernah melakukan perkara di luar batasan.

Tuduhan itu, katanya, tidak memberi kesan kepadanya secara individu tetapi apa yang dirisaukan ialah ia seolah-olah sudah menjadi budaya untuk ‘membunuh’ seseorang melalui jalan fitnah

Ditanya sama ada tuduhan itu dibuat ahli parti sendiri, Amirudin berkata beliau tidak pasti mengenai perkara itu. – WD MY