PUTRAJAYA, 10 Julai – Kerajaan Negeri Selangor berterima kasih
kepada Kerajaan Persekutuan yang memberi kerjasama untuk memuktamadkan
penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air Selangor, Kuala Lumpur
dan Putrajaya.

Menteri Besarnya Mohamed Azmin Ali berkata sepanjang rundingan selama 10
bulan, menyaksikan pihak kerajaan negeri dan persekutuan begitu komited
untuk memastikan industri perkhidmatan air di Selangor lebih holistik demi
kepentingan pengguna sama ada industri atau domestik.

Beliau berkata sepanjang proses rundingan, kedua-dua pihak mempertahankan
pandangan dan pendirian masing-masing namun telah melihat kerangka lebih besar
agar ia dapat diselesaikan dengan baik.

“Saya mengambil kesempatan bagi pihak kerajaan negeri untuk merakamkan
penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah membantu dan memberikan
kerjasama cukup baik untuk memuktamadkan proses ini.

“Saya dan (Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr) Maximus
(Ongkili) pernah bincang dari siang sehingga lewat malam. Saya juga pernah
menghubungi timbalan perdana menteri dan beliau sudi menjawab panggilan telefon
saya pada waktu sahur iaitu 4.58 pagi.

“Ini (memuktamadkan perjanjian) merupakan satu permulaan yang baik untuk
menggerakkan kerjasama yang baik dan lebih erat demi kepentingan rakyat dan
pengguna, khususnya di Selangor,” katanya.

Mohamed Azmin berkata demikian pada sidang media bersama selepas Majlis
Menandatangani Perjanjian Tambahan Kepada Perjanjian Utama Penstrukturan Semula
Industri Perkhidmatan Bekalan Air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini
hari ini.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Menangani Isu-Isu Air
Selangor menyaksikan pemeteraian perjanjian tersebut.

Ongkili pula berkata kerajaan Persekutuan berterima kasih kepada
Menteri Besar Selangor yang bekerja keras memperhalusi draf-draf yang
dikemukakan pada Perjanjian Tambahan itu sehingga ia dapat dimuktadmadkan.

Beliau berkata kerajaan Selangor juga mengetepikan perbezaan politik dalam
mencapai persetujuan untuk menandatangani Perjanjian Tambahan itu.

“Semangat tolak ansur antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri
Selangor sehingga perjanjian hari ini dapat dimeterai,” katanya.
-Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY