MELAKA, 12 MEI – USIR….. Sekumpulan warga asing dipercayai pelancong diusir penguat kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) kerana berniaga tanpa permit di siar kaki Jonker Street di Bandar Hilir, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, kumpulan dikatakan pengembara beg galas atau backpacker berusia dalam lingkungan 20-an itu dilaporkan duduk di kaki lima berhadapan sebuah premis kafe terkenal dan menjual hasil kraf tangan sehingga mengganggu pemandangan kawasan tumpuan ramai berkenaan.

Datuk Bandar MBMB, Mansor Sudin, berkata anggota penguat kuasa mengarahkan semua pelancong asing terbabit menghentikan aktiviti dan beredar dari lokasi berkenaan.

“Difahamkan, mereka datang ke negara ini menggunakan visa pelancong. Oleh itu, adalah salah untuk mereka menjalankan perniagaan.

“Ketika diusir, mereka memberi kerjasama. Bagi kes sebegini, kita meminta mereka beredar dengan cara berhemah.

“Namun jika masih berdegil, tindakan seterusnya akan diambil seperti mengeluarkan notis, kompaun atau boleh menyita barang mereka,” katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.

Mansor berkata, kumpulan itu berniaga di kawasan terbabit dipercayai akibat masalah kewangan atau mengambil kesempatan atas sikap pemurah orang awam, termasuk penduduk dan pelancong tempatan di negeri ini.

“MBMB memang menempatkan sekurang-kurang dua anggota penguat kuasa untuk kawalan statik di sekitar kawasan itu.

“Bagaimanapun, kita akan sentiasa bekerjasama dengan pihak polis dan Jabatan Imigresen bagi melakukan operasi bersepadu serta memantau kes ini secara berkala,” katanya.

Sebelum ini, seorang pengguna laman Facebook dengan nama Michael Quay memuat naik status berhubung aktiviti sekumpulan pelancong asing berniaga secara haram di siar kaki Jonker Street berhadapan sebuah kafe terkenal.

Beberapa keping gambar dan video berdurasi 56 saat turut dikongsi dalam status itu sehingga tular sejak semalam.

Video berkenaan memaparkan perbualan dengan seorang pemandu teksi yang mendakwa pelancong terbabit bertindak agresif apabila pemandu itu memintanya berpakaian sopan ketika Ramadan, selain ada dikatakan mengugut membuang telefon pintarnya ke sungai jika terus merakam. – WD MY