BUTTERWORTH, 28 Ogos – Anggota MCA yang didapati terlibat dalam
perhimpunan haram Bersih 4 di ibu negara akan dikenakan tindakan tatatertib,
kata Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun.

Beliau berkata parti itu mempunyai mekanisme untuk menjalankan siasatan
terhadap anggotanya yang menyertai atau terlibat dalam perhimpunan haram itu.

“MCA tidak galakkan anggota parti menyertai perhimpunan Bersih 4,” katanya
kepada media selepas merasmikan majlis pelancaraan Anugerah Industri Kecil
dan Sederhana (IKS) peringkat Pulau Pinang, di sini hari ini.

Sementara itu Chew, yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga
dan Masyarakat, menggesa golongan wanita merebut peluang serta kemudahan yang
disediakan kerajaan untuk mencapai kejayaan dalam bidang keusahawanan.

Beliau berkata bantuan kewangan dan latihan telah lama diwujudkan oleh
kerajaan bagi memastikan usahawan wanita lebih berdaya saing dalam pasaran
perniagaan yang semakin mencabar.

“Adalah menjadi agenda kerajaan untuk meningkatkan jumlah usahawan wanita,
oleh itu kami di kementerian memberi peluang kepada mereka dengan pelbagai
pakej bantuan untuk meneroka bidang perniagaan…gunakanlah peluang yang
diberikan ini sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata pada masa ini terdapat 19.7 peratus wanita terlibat dalam IKS
dan pihaknya menyasarkan peningkatan kepada 30 peratus wanita menceburi bidang
itu menjelang tahun depan.-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY