PASIR GUDANG, APRIL 20: MCA…Masyarakat Tionghua di negara ini perlu menerima hakikat parti MCA telah banyak menyumbang jasa kepada golongan itu terutama dalam pendidikan.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata MCA sedar matlamat mereka berpolitik bukan semata-mata mahu mendapatkan sokongan tetapi lebih daripada itu.

Mohamed Khaled memberitahu, MCA juga tidak pernah menukar ‘pasangan’ dan setia dengan BN, tidak seperti DAP yang dahulunya bekerjasama dengan PAS, tetapi kini sudah menceraikannya dan memilih individu berusia 93 tahun.

“Ada yang kata MCA ‘buruk’ tetapi buruk-buruk MCA mereka banyak budi dan berjasa kepada masyarakat Tiong Hua. Jadi, saya pun tidak tahu kenapa ada satu parti itu nak ‘bunuh’ MCA….MCA bukan sebuah parti yang suka tukar pasangan,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, parti yang mahu ‘membunuh’ MCA itu lima tahun dahulu menganggap PAS adalah segala-galanya kepada mereka, namun selepas lima tahun mereka sudah menukar pasangan.

“Pada mereka PAS adalah segala-galanya, PAS cinta hati mereka tetapi selepas lima tahun mereka cari pasangan lain, sekarang dengan seorang berusia 93 tahun, tapi MCA tak tukar pasangan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata, pihaknya masih belum menerima senarai terkini semua 82 calon Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada pucuk pimpinan tertinggi.

“Apabila sudah mendapat senarai (calon daripada pucuk pimpinan) kita akan umum,” katanya. – MY WD