KUALA LUMPUR, 23 Okt – Buka Keahlian Kepada Bukan Cina…. Pemuda MCA bercadang untuk membuka keahlian gabungan kepada masyarakat bukan Cina selepas menyedari parti tersebut berdepan dengan masa depan yang tidak pasti berhubung kehilangan sokongan pengundi Cina.

Pengerusinya Datuk Chong Sin Woon berkata MCA boleh menjadi parti pertama dalam kalangan parti asas Barisan Nasional dengan ahli yang mewakli pengundi berbilang kaum.

Chong berkata Barisan Nasional pernah membuka keahlian di kalangan semua kaum, terutamanya mereka yang tidak menjadi ahli di dalam mana-mana parti.

Namun perkara tersebut tidak mendapat sambutan yang diharapkan kerana masyarakat masih belum bersedia, kata beliau.

“Kami akan membawa usul ini sewaktu mesyuarat agung tahunan nanti supaya perlembagaan parti dapat digubah untuk membenarkan cadangan ini,” kata Woon.

“Kami bermula sebagai parti untuk satu bangsa namun kami mahu lihat ke hadapan dan menjadi parti berbilang bangsa suatu hari nanti. Ahli-ahli MCA masih tidak bersedia untuk keahlian penuh masyarakat bukan Cina, maka kami mahu mulakan dengan ahli gabungan dahulu,” katanya.

Portal dalam talian hari ini melaporkan Pemuda MCA mahu parti tersebut membuka keahlian penuh kepada masyarakat bukan Cina suatu hari nanti, sekiranya hasrat itu diluluskan di Perhimpunan Agung MCA November depan.

Chong berkata demikian di majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pemuda MCA Negeri Selangor di Wisma MCA, di sini hari ini.  – WD MY