MCPF Cadang Tayang Klip Cegah Jenayah Di Pawagam

0
44

KUALA LUMPUR, 16 Dis – Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mencadangkan klip video cegah jenayah ditayangkan di semua pawagam seluruh negara sebelum bermulanya tayangan sesebuah filem.

Naib Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata klip video berdurasi kira-kira seminit itu mampu memberikan impak kepada penonton dan masyarakat secara umumnya.

“Selama ini, kita banyak berbelanja untuk menyediakan brosur mengenai pencegahan jenayah, bagaimanapun kaedah baharu ini yang lebih menarik mampu meninggalkan kesan untuk membantu membanteras jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Video Cegah dan majlis makan tengah hari bersama pengamal media sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

Pada majlis itu, Mohd Fikri Zambri, 21, dari Kuantan, Pahang memenangi hadiah utama pertandingan terbabit dan membawa pulang wang tunai RM25,000 serta peralatan kamera.-Sharini Abdulah (WD MY)