JOHOR BAHRU, 3 Okt – Minta Geran… Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) berharap kerajaan dapat mempertimbangkan permohonan organisasi itu untuk memperuntukkan geran tahunan pada pembentangan Bajet 2017, pada 21 Oktober ini. 

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata cadangan peruntukan berjumlah antara RM3 juta hingga RM4 juta itu bagi membolehkan pihaknya menganjurkan pelbagai program bersama masyarakat bagi memerangi jenayah. 

“Kita sememangnya tidak mempunyai dana tahunan dan segala program dijalankan adalah hasil inisiatif dalam kalangan ahli sama ada di peringkat tertinggi mahu pun negeri.

“Oleh itu, pada pembentangan Bajet 2017, kita berharap kerajaan dapat mempertimbangkan permohonan MCPF untuk menyalurkan geran tahunan. 

“MCPF sedar bahawa kelulusan geran tahunan itu adalah berdasarkan kemampuan kewangan kerajaan, namun kami amat berharap ia dapat menjadi kenyataan bagi membolehkan kita merangka pelbagai program pada masa akan datang,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Forum Pencegahan Jenayah dan Peranan Masyarakat anjuran MCPF Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini. – WD MY

LEAVE A REPLY