KUALA LUMPUR, 12 Feb – Terbakar……Lelaki warga Bangladesh cedera manakala lima buah kereta dan sebuah motosikal rosak teruk selepas sebuah medan selera di Lorong Loke Yew Off Jalan Sungai Besi di sini, terbakar, awal pagi tadi.

Dalam kebakaran kira-kira jam 4.30 pagi, lelaki Bangladesh itu melecur pada tangan dan muka selepas dipercayai cuba memadamkan api yang hampir merebak ke sebuah bangunan lain yang bersambung dengan medan selera itu.

Bomba yang menerima panggilan jam 4.38 pagi, mengejarkan lima jentera bersama 41 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pudu, Hang Tuah, Bandar Tun Razak dan Titiwangsa ke lokasi untuk memadam kebakaran.

Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Razi Mohd Zain, berkata lima buah kereta dan motosikal yang terbakar itu diletakkan oleh pemiliknya di kawasan letak kenderaan di medan selera berkenaan.

“Ketika kebakaran berlaku, medan selera terbabit tidak beroperasi dan tiada pengunjung namun pemilik enam kenderaan yang terbakar itu dipercayai meletakkan kenderaan masing-masing di situ untuk ke restoran dan pusat hiburan berhampiran.

“Kebakaran dapat dikawal jam 4.56 pagi dan usaha memadam sisa-sisa kebakaran itu diteruskan hingga selesai kira-kira jam 6 pagi,” katanya.

Katanya, mangsa yang cedera dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk rawatan dan setakat ini punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. – WD MY