KUALA LUMPUR, 26 JAn – Peranan Penting…….. Pihak Media berperanan penting menyalurkan maklumat tepat terutama berkaitan dasar kerajaan kepada masyarakat supaya mereka tidak terkeliru dengan laporan ‘jahat’ pihak tertentu kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Menurut Hamzah, walaupun wujud media sosial, media cetak, elektronik dan massa tetap menjadi medium penting dalam memberi penjelasan kepada rakyat berkaitan pelbagai isu.

Beliau berkata, media arus perdana berdepan dengan cabaran dan persaingan cukup tinggi terutama “sindrom berita tergempar” dan trend laporan komuniti dalam media sosial.

“Media menghadapi pelbagai cabaran dan persaingan dengan media sosial, tambahan pula banyak pihak yang membuat pusingan U yang perlu direkod supaya kita tahu apa yang dicakapkan hari ini dan semalam.

“Saya nak pertahankan media arus perdana kerana mereka mampu memberi berita yang sahih supaya persaingan dengan media sosial dapat dikurangkan.

“Saya juga mahu melihat supaya tiada berita yang boleh merosakkan agenda kerajaan untuk membangunkan negara kerana ia adalah kepentingan bersama,” katanya berucap pada Malam Gema Pena KPDNKK dan Agensi 2017 di sini, malam tadi.

Lebih 200 pengamal media diraikan selain turut dipersembahkan nyanyian artis jemputan, Nassier Wahab dan Azrul Cham.

Kelab Media Putrajaya menerima Anugerah khas kerana peranan menyalurkan berita penting, turut membawa pulang wang tunai RM3,000 dan sijil penghargaan. – WD MY