MELAKA, 1 Julai – Miliki……. Satu lagi daya tarikan ke negeri Melaka iaitu pelancongan baharu, muzium perkapalan dinamakan ‘Mendam Berahi’ direalisasikan.

Pengarah Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Datuk Khamis Abas, berkata projek bernilai hampir RM10 juta itu bakal menterjemahkan seratus peratus seni pertukangan Melayu sebelum kurun ke-14 sekali gus mengimbau kegemilangan dunia pelayaran Melayu.

“Projek muzium baharu ini dijangka mengambil masa selama dua tahun di mana saiznya menyamai replika kapal Flor de La Mar yang terdapat di Banda Hilir.

“Kita masih menunggu peruntukan dari Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan. Sebaik siap, muzium ini akan digandingkan dengan produk sedia ada iaitu Muzium Kapal Selam yang terletak di Klebang,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan hadiah kepada pengunjung Muzium Melaka yang ke 300,000 bagi tahun 2017 di Muzium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Banda Hilir, semalam.

Dalam pada itu, Khamis berkata, PERZIM terus optimis mampu menerima kira-kira 700,000 pengunjung muzium kendalian PERZIM pada tahun ini.

“Jumlah pelawat turut meningkat sebanyak 10 peratus atau seramai 15,000 pelawat muzium bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya. – WD MY