MELAKA, 19 Sept – Tujuh memorandum persefahaman (MoU), melibatkan
pelaburan antara Melaka dan wilayah Guangdong, China dalam bidang hartanah,
teknologi maklumat, perubatan dan makanan halal, ditandatangani syarikat dari
Malaysia dan China di sini hari ini.

Majlis menandatangani MoU itu disaksikan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Mohd
Khalil Yaakob dan Gabenor Wilayah Guangdong Zhu Xiodan. Turut serta Ketua
Menteri Datuk Seri Idris Haron dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

LBS Bina Group Bhd yang diwakili Pengarah Urusannya Tan Sri Lim Hock San dan
Zhuhai Jiuzhou Holdings Group Co Ltd yang diwakili Pengerusinya Huang Xin,
menandatangani MoU untuk menaik taraf dan mentransformasikan Litar Lumba
Antarabangsa Zhuhai di wilayah Guangdong, China.

Melaka Biotech Holdings Sdn Bhd (MBH) yang diwakili Ketua Pegawai
Eksekutifnya Badrul Hisham Badruddin dan Pengarah Urusan Zhuhai Shengxing
International Trading Company, Cheang Kim U, menandatangani MoU untuk
bekerjasama dalam pensijilan makanan halal.

Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Hospital Ayer Keroh Michael E.C Wong dan
Presiden Nanyang Hospital Prof Li Wen Yuan pula menandatangani MoU bagi menjalin
kerjasama dalam penjagaan klinikal, pembelajaran perubatan dan aktiviti
penyelidikan.

Timbalan Pengerusi Melaka ICT Holdings Sdn Bhd Datuk Wizan Abdul Ghani dan
Ketua Pegawai Operasi Huawei Technologies (M) Sdn Bhd Fan Jun menandatangani
perjanjian bagi menjayakan projek pembangunan dan penyelidikan bandar raya
pintar.

Dua lagi MoU melibatkan KAJ Development Sdn Bhd (KAJ), masing-masing
diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Siow Yoke Foong, menandatangani MoU
dengan China World Trade Corporation Co Ltd dan Pengarah KAJ Yu Ying Ying dengan
Pengurus Besar Guangdong Foreign Construction Co Ltd, membabitkan pembangunan
infrastruktur dan penjualan hartanah di Melaka Gateway.

KAJ turut menandatangani satu lagi MoU bagi kontrak perolehan projek
pembangunan dan teknologi tinggi. Perjanjian itu dimeterai Pengarah Eksekutifnya
Dr Ong Tun Tse dengan Naib Presiden China Volant Industry Co Ltd Wang Xiuchang

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Gateway Datuk Michelle Ong
berkata MoU itu akan memberikan nilai tambah yang amat besar bagi projek
hartanah mega Melaka Gateway.

“Melaka Gateway akan bekerjasama dengan syarikat terkenal yang mempunyai
kekuatan tersendiri di China, yang saya yakini akan mengukuhkan projek Melaka
Gateway dan membawa projek itu ke persada antarabangsa,” katanya.

Badrul Hisham berkata kerjasama MBH itu membabitkan ujian makmal bagi
analisis halal dan khidmat rundingan dari segi pengurusan sistem dan prosedur
pensijilan halal kepada pengusaha dari China.

Beliau berkata usaha sama yang dijalankan itu diharap membuka peluang kepada
Malaysia, khususnya Melaka, untuk melebarkan sayapnya ke China dalam industri
halal memandangkan China mempunyai pasaran berpotensi besar untuk industri itu.
-Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY