AYER KEROH, 22 Jun – Terima 40 Pesakit Jangkitan Difteria……. Kementerian kesihatan negeri sudah memeriksa lebih 40 kenalan rapat kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dari Ujong Pasir, di sini, yang meninggal dunia akibat dijangkiti penyakit Difteria pada Sabtu lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Ghazali Othman, berkata hasil pemeriksaan, dua adik-beradik mangsa disahkan positif penyakit terbabit, manakala hasil ujian yang lain didapati negatif.

“Mereka (adik-beradik mangsa) kemudian dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut dan hingga petang ini berada dalam keadaan baik dan didapati tiada komplikasi akibat penyakit itu.

“Selain ahli keluarga, pemeriksaan turut dilakukan dalam kalangan rakan-rakan kanak-kanak terbabit iaitu di sekolah,” katanya ketika ditemui di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Seri Negeri, hari ini.

Difteria adalah sejenis penyakit yang mudah berjangkit, terutama dari individu ke individu lain dan bakteria penyebab penyakit itu mudah membiak di kawasan persekitaran yang kotor.

Penyakit itu boleh dicegah dengan mengambil suntikan imunisasi yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan membabitkan lima suntikan vaksin iaitu ketika berusia dua, tiga, lima dan 18 bulan serta suntikan terakhir ketika berusia 15 tahun.

Mengulas lanjut, Dr Ghazali berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai mula dijangkiti penyakit berkenaan pada 10 Jun lalu, sebelum dibawa ke Hospital Melaka tujuh hari kemudian untuk mendapatkan rawatan.

“Pemeriksaan mendapati, kanak-kanak ini mengalami komplikasi akibat penyakit itu apabila dibawa ke Hospital Melaka.

“Mungkin disebabkan lewat menerima rawatan, peringkat awal tanda penyakit seperti sakit tekak atau demam biasa yang boleh dirawat di rumah,” katanya. – WD MY

LEAVE A REPLY