MELAKA, 14 SEPT – BANTUAN…. Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) mendapatkan bantuan daripada operator air dari beberapa negeri jiran bagi menangani krisis bekalan air di negeri ini.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata sehingga petang ini, sebanyak 16 lori digerakkan bagi penghantaran bekalan air ke kawasan terjejas.

Beliau berkata, SAMB dibantu RANHILL Syarikat Air Johor (SAJ), Syarikat Air Selangor (AIS), dan Lembaga Air Perak (LAP).

“Ia berikutan kemerosotan paras di empangan, kolam tadahan dan Sungai Melaka adalah akibat purata hujan rendah menyebabkan gangguan kepada tekanan air di beberapa kawasan sekitar negeri.

“Jumlah takungan air di Empangan Durian Tunggal ketika ini 7,270 juta liter manakala Empangan Jus berjumlah 19,975 juta liter.

“Kadar penggunaan air di negeri ini pula adalah sekitar 600 juta liter sehari namun akibat paras air sungai yang rendah, hanya 550 juta liter dapat dihasilkan,” katanya menerusi dalam satu kenyataan hari ini.

Adly berkata, SAMB turut mendapatkan bantuan sumber air terutama dari Johor selain proses memindahkan air mentah dari Empangan Ayer Keroh, Lombong Kesang Pajak (Jasin), Kolam Tebat Banjir JPS (Durian Tunggal),Loji Air Gadek (Alor Gajah), dan Kolam Takungan Gangsa, (Durian Tunggal) sebagai alternatif.

“Justeru, diharapkan rakyat tidak panik dan menggunakan air secara berhemah. SAMB sedang berusaha menstabilkan semula kolam terjejas untuk pastikan bekalan air sampai ke setiap premis,” katanya.

Tinjauan di Lorong Jantan Jusoh, Solok Pantai Rombang, Pantai Puteri, yang terputus bekalan air sejak empat hari lalu, mendapati penduduk mula terasa dengan masalah itu, terutama warga tua.

“Pergerakan kami terbatas kerana masing-masing mengalami masalah kesihatan, bagaimana nak angkut tong dan baldi untuk isi air daripada lori tangki,” kata Jamilah Mat Jali, 61.

Jamilah (kanan) hanya mampu melihat suaminya, Ali (kiri) yang tidak dapat menahan kesedihan selepas tidak dapat menjalani rutin harian yang sempurna berikutan hampir empat hari terputus bekalan air di Kampung Solok Pantai Rombang, Melaka.

Jamilah, mengalami penyakit angin ahmar, kencing manis, jantung dan darah tinggi manakala suaminya, Ali Osman, 67, mengalami strok, terbatas untuk bergerak kerana berkerusi roda dan tidak kuat lagi melainkan makan dan minum.

Katanya, dia dan suami bukan sahaja tidak dapat mandi malah terpaksa membeli makanan di gerai.

“Sebelum ini air dari paip amat perlahan sejak tiga minggu lalu tetapi terputus empat hari lalu menyebabkan kami tak dapat mandi, ambil wuduk dalam tempoh itu,” katanya.

Penduduk lain, Radhiah Abdullah, 36, ibu empat anak berusia antara enam bulan hingga 12 tahun, berkata dia menghadapi kesukaran, khususnya dalam menguruskan bayinya selain terpaksa mendapatkan bekalan air di rumah kakak untuk membancuh susu.

“Bagaimana mahu mencuci baju, membersihkan anak-anak, jika keadaan begini sudah empat hari. Saya cuma kasihankan pada anak kerana mereka masih kecil tetapi berdepan situasi begini,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan berkata, penduduk mengadu mereka sudah mula hilang sabar kerana tidak dapat menjalankan aktiviti harian dan perniagaan tanpa sumber air sejak sepanjang tempoh itu.

“Saya difahamkan, masalah kerap berlaku kurang air sebenarnya sudah dua bulan, cuma di Solok Pantai Rombang paling terjejas.

“Ada kawasan lain menerima bekalan air dari lori tangki yang membawa 1,500 gelen air namun ia tidak mencukupi untuk menampung 800 penduduk di sini. Jadi, saya berharap SAMB (Syarikat Air Melaka Berhad) keraplah hantar lori dengan bekalan air,” katanya. – WD MY