MELAKA, 8 Julai – Warisan….  5,000 pengunjung membanjiri perkarangan Memorial Kemerdekaan di sini, malam ini bagi menyaksikan sambutan ulang tahun kesembilan Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Acara sambutan bertemakan Warna-Warni Warisan Kita itu menyaksikan lebih 30 perarakan, termasuk kereta berhias membabitkan nilai tradisi disertai seramai lebih 760 peserta terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik.

Acara perasmian disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob.

Melaka diisytihar sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada Persidangan Ke-32 Jawatankuasa Warisan Dunia di Quebec City, Kanada pada 7 Julai 2008 bersama Pulau Pinang.

Terdahulu, Idris dalam ucapannya berkata, pelbagai strategi dan rangka kerja diatur bagi memastikan bandar raya warisan dunia UNESCO memberi impak positif kepada semua pihak, terutama kerajaan negeri dan masyarakat di negeri ini.

“Ini adalah satu pengiktirafan Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan juga penghargaan terhadap usaha berterusan kerajaan negeri dalam mengekal dan memulihara bangunan serta warisan sejarah yang berusia lebih 600 tahun.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri turut merancang dan sedang mempertingkatkan kualiti pengurusan dan kemudahan infrastruktur dan pengindahan kawasan supaya Melaka terus menjadi tumpuan pelancong dalam mahupun luar,” katanya.

Melaka menerima purata 15 juta pelancong setiap tahun dengan sasaran 16.7 juta pada hujung tahun ini. – WD MY