SHAH ALAM, 10 Nov – Penyatuan Bangsa….Keindukan yang berteraskan Melayu dan Bumiputera menjadi prinsip penting kepada penyatuan bangsa di Malaysia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata ini kerana kedua-dua asas itu iaitu Melayu dan Bumiputera adalah perkara utama yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

Najib menarik perhatian bahawa jika dilihat kepada perlembagaan, bahasa Melayu adalah bahasa rasmi tetapi bahasa lain dibenar dituturkan secara bebas di Malaysia.

“Islam juga adalah agama rasmi tetapi agama lain dibenar diamalkan dengan bebas dan ketua negara kita ialah Yang di-Pertuan Agong yang dipilih dalam kalangan sembilan raja Melayu.

“Kalau terima prinsip ini, maka mudah kita ke hadapan… bila nak majukan negara mesti majukan semua kaum tetapi jangan biarkan Melayu dan Bumiputera ketinggalan,” katanya ketika menutup Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa di Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini hari ini.

Najib adalah penaung kepada konvensyen selama tiga hari itu. – WD MY