KUALA LUMPUR 10 Okt – Tarik Balik Saman…..Bekas ahli UMNO Langkawi, Anina Saaduddin, menarik balik saman pemula dikemukakan terhadap UMNO bagi mencabar pemecatannya daripada parti pada Ogos tahun lalu.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Anina, berkata anak guamnya menarik balik tindakan berkenaan berikutan tidak timbul lagi isu berhubung keahliannya.

“Kami memberitahu mahkamah dalam prosiding tadi, tindakan ini ditarik balik kerana Anina kini Ahli Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Ini menjadikan saman pemula difailkan beliau untuk mencabar pemecatannya daripada UMNO atas dakwaan tidak berperlembagaan, tidak relevan lagi,” katanya.

Mohamed Haniff berkata demikian ketika ditemui media selepas prosiding pengurusan kes saman pemula itu dalam kamar Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Roslan Abu Bakar.

Turut hadir, peguam Nor Hazira Abu Hayyan bagi pihak Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusoh selaku defendan.

Anina memfailkan saman pemula itu pada 3 Jun lalu, untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 sebagai tidak sah kerana menetapkan keputusan parti politik tidak boleh dicabar.

Beliau menamakan Kerajaan Malaysia selaku defendan pertama dan Tengku Adnan serta Ab Rauf dalam kapasiti mereka sebagai pegawai awam UMNO, selaku defendan kedua dan ketiga. – WD MY

LEAVE A REPLY