KUALA LUMPUR, MAC 5: MENANGANI..Pengurusan sekolah perlu mempertingkatkan kerjasama dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dalam usaha menangani insiden jenayah seterusnya akan mengurangkan kes jenayah di sekolah.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata kerjasama antara kedua pihak diperlukan. Ini adalah untuk mengatasi masalah jenayah sekaligus mengawasi dan memantau keselamatan pelajar di beberapa sekolah yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko atau `hotspot’.

Beliau berkata kebiasaannya polis akan memberikan laporan kepada Jabatan Pendidikan negeri mengenai insiden jenayah di luar kawasan sekolah.

“(Kejadian tembakan di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Serdang, Serdang) satu perkara mengejutkan sebab berlaku di persekitaran sekolah walaupun berlaku di luar.

“Kita minta supaya kerjasama dengan polis dapat ditingkatkan supaya perkara seumpama ini tidak berlaku lagi,” katanya pada pemberita di Parlimen, hari ini.

Dalam kejadian jam 5.45 petang Khamis lalu, seorang lelaki mati ditembak ketika berdiri di hentian bas depan sekolah itu.

Mangsa adalah anggota kumpulan kongsi gelap Geng 08 dan siasatan awal menunjukkan kejadian itu ada kaitan dengan kegiatan pengedaran dadah sekitar Serdang.

“Mungkin kita boleh minta kerjasama polis untuk kawal di kawasan hotspot,” katanya. – MY WD