BAGHDAD, 22 Jun – Letupkan….. Militan Daesh meletupkan menara condong terkenal di Mosul dan masjid bersebelahannya, lokasi pemimpin pergerakan itu, Abu Bakr al-Baghdadi mengisytiharkan dirinya sebagai khalifah pada 2014.

Amaq menuduh masjid bersejarah zaman pertengahan itu dimusnahkan serangan udara Amerika Syarikat (AS).

AS yang menerajui tentera pakatan antarabangsa menafikan dakwaan itu dengan menegaskan tiada serangan udara dilakukan ke kawasan itu.

Washington mengecam pemusnahan tapak bersejarah dan menyifatkannya sebagai jenayah terhadap penduduk Mosul dan rakyat Iraq.

Perdana Menteri Iraq, Haider al-Abadi, berkata pemusnahan lokasi itu adalah ‘perisytiharan kekalahan rasmi’ militan dalam pertempuran lapan bulan bagi menguasai Mosul.

“Tentera kami mara ke arah sasaran mereka jauh di dalam Kota Lama dan apabila mereka mendekati 50 meter dari masjid Nuri, Daesh melakukan satu lagi jenayah dengan meletupkan masjid Nuri dan Hadba,” kata komander keseluruhan serangan di Mosul, Leftenan Jeneral Abdulamir Yarallah.

Pemusnahan dua mercu tanda paling terkenal di Mosul itu dilakukan pada hari keempat serangan tentera Iraq yang dibantu pasukan antarabangsa untuk merampas semula Kota Lama, pertahanan terakhir Daesh.

Ia menokok kepada senarai panjang lokasi dan bangunan warisan yang dimusnahkan Daesh di Syria dan Iraq sejak al-Baghdadi menubuhkan kerajaan khalifah membabitkan kedua-dua negara, hampir tiga tahun lalu. – WD MY