AYER KEROH, 10 Feb – Didakwa Ugut…….Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dakwaan mengugut bapanya di sebuah rumah di Pulau Gadong, Isnin lalu.

Hairul Adha Mohamad, 25, didakwa mengugut mahu membunuh bapanya, Mohamad Rimat, 63, di sebuah rumah di Pulau Gadong, jam 7.30 malam, 6 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa, Superintendan Nora Yaacob menawarkan jaminan RM4,000, manakala peguam tertuduh, James Thanjong Tuan, merayu jumlah dikurangkan kepada RM2,500 atas alasan anak guamnya berpendapatan RM1,500, selain menanggung isteri dan seorang anak.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – WD MY