SELAYANG, 30 Dis – Di Dakwa….. Pelajar jurusan kejuruteraan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan mencederakan seorang anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman sehingga perut mangsa terburai, Isnin lalu.

R Yohaaraj, 24, membuat pengakuan itu dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Yohaaraj didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera parah terhadap Mohd Arif Azman, 26, yang juga anggota berpangkat konstabel, dengan menggunakan pisau.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Lobi Tower A, Selayang Point Condo, Jalan SP 1, di sini, jam 4.30 pagi, pada 26 Disember lalu dan didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 4 Januari ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Arunjothy, manakala tertuduh diwakili peguam M Marriappan. – WD MY