SIBU, 27 FEB – AMUK… Gara-gara tidak berpuas hati dengan makanan yang dipesan, lima lelaki bertindak ganas memecahkan barangan di sebuah restoran di Jalan Pahlawan, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu berlaku apabila tiga suspek yang dipercayai dalam pengaruh alkohol bertengkar dengan salah seorang pelayan di restoran berkenaan mengenai makanan yang mereka pesan.

Beliau berkata, dua lagi rakan tiga suspek itu kemudian datang dan masuk campur sebelum semua yang berusia 18 tahun hingga 24 tahun itu mengamuk serta merosakkan barangan di restoran berkenaan.

“Seorang pekerja lelaki restoran itu cedera di bahagian muka selepas dipukul dengan penyapu,” katanya .

Kesemua suspek berjaya dikesan dan ditangkap oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Sibu, malam tadi.

Turut dirampas, sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan penyapu yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa.

“Kerosakan di premis berkenaan dianggarkan melebihi RM20,000. Semua suspek sudah dibawa ke Mahkamah Sibu hari ini untuk permohonan reman dan telah diluluskan selama dua hari sehingga Jumaat ini.

“Suspek juga turut dirujuk kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik untuk saringan air kencing” katanya.

Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat, Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. – WD MY