KUALA LUMPUR, OKTOBER 2: ROYALTI…Kerajaan memberitahu tidak membayar royalti minyak kepada Kelantan kerana disaman kerajaan negeri itu.

Namun Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata perkembangan terkini di mana penarikan balik saman itu sesuatu yang positif.

 “Kes Kelantan ini sedikit berbeza. Kita tak bayar langsung sebab Kelantan saman kami.

“Saya baca kenyataan Menteri Besar Kelantan (Datuk Ahmad Yakob) yang bagi saya satu permulaan baik untuk tarik balik saman.

“Ini akan wujudkan suasana yang kondusif supaya penyelesaiannya lebih saksama. Itu sajalah saya nak sebut di sini,” katanya ketika menjawab pertanyaan Siti Zailah Mohd Yusoff (Pas-Rantau Panjang), semalam.

Sebelumnya Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (Pas-Kuala Nerus) bertanya soal jaminan kerajaan dalam pembayaran baki royalti minyak kepada Terengganu sekitar RM500 juta.

Azmin dalam jawapannya berkata komitmen kerajaan baharu akan memastikan segala janji dilunaskan.

“Sebab itu saya ambil pendirian perkara ini saya akan kemukakan kepada Kementerian Kewangan.

“Tetapi YB sedia maklum kedudukan kewangan negara pada hari ini yang perlu kita lihat keutamaan bagi memastikan perjalanan pentadbiran kerajaan dan pertumbuhan ekonomi dipacu. Hak Terengganu itu bukan sahaja kita hormati tapi kita bertanggungjawab untuk melaksanakan,” katanya.-MY WD