KOTA BHARU,JUN ,27:UMNO… UMNO Kelantan menyifatkan sebagai amat malang untuk rakyat negeri ini jika memang tiada wakil dari Kelantan dalam barisan Kabinet seperti senarai yang ditularkan melalui media sosial.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata jika senarai ditularkan itu betul, Kelantan mungkin akan menghadapi kesukaran mendapatkan perhatian Kerajaan Pusat bagi perkara berkaitan pembangunan, infrastruktur, pendidikan, keselamatan sempadan dan kemiskinan.

Justeru, katanya, beliau berharap barisan Kabinet yang bakal diumumkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, turut menyenaraikan wakil dari Kelantan.

“Kita tahu masih ada banyak saluran lain seperti media, surat dan pertemuan yang boleh digunakan untuk memberi pandangan berkaitan Kelantan. Namun jika ada wakil dalam Kabinet, secara langsung semua perkara itu akan lebih mudah dimajukan ke peringkat tertinggi.

“Wakil ini cukup penting kerana melalui perantaraan atau saluran itu, sudah pasti tindakan pantas akan diambil Kerajaan Pusat, sekali gus mengukuhkan dan membela kedudukan Kelantan.

“Apapun, kita berharap yang ditularkan itu tidak benar dan akan ada wakil dari Kelantan dalam barisan Kabinet diumumkan nanti,” katanya kepada pemberita pada Majlis Aidilfitri UMNO Kelantan bersama media, di sini, malam tadi.

Menurut senarai diviralkan melalui media sosial, PKR difahamkan akan mendapat empat lagi kerusi menteri dalam Kabinet pimpinan Dr Mahathir, tambahan kepada empat sedia ada, termasuk Timbalan Perdana Menteri, selain lapan timbalan menteri.

Dalam pada itu, Mustapa yang bertanding jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) pada pemilihan UMNO kali ini, juga berharap perwakilan akan membuat pilihan tepat dalam menentukan barisan kepemimpinan tertinggi parti.

Katanya, perwakilan perlu memilih calon terbaik menjadi Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden, sekali gus mampu menggalas tugas mencabar dalam usaha melaksanakan pembaharuan, menyuntik nafas baharu serta meningkatkan keyakinan rakyat terhadap UMNO.

Sementara itu, ditanya mengenai tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mengeluarkan kenyataan media rasmi beliau bawah kementerian terbabit dalam tiga bahasa termasuk Mandarin, baru-baru ini, beliau berkata, perkara berkenaan diharap tidak berulang pada masa depan.

“Status bahasa Melayu perlu dihormati semua pihak sama ada kerajaan mahupun pembangkang tanpa kompromi,” katanya yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.-MY WD