SEREMBAN, 12 APRIL – UNDI…. Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang menyatakan punca utama golongan muda menolak Barisan Nasional (BN) ialah disebabkan kurang pengetahuan mengenai sejarah negara.

Beliau berkata, orang muda kini lebih percaya dan mudah terpengaruh dengan media sosial dan keadaan itu menyumbang kepada kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada tahun lalu.

“Orang muda tidak tahu sejarah kemerdekaan. Lebih percaya kepada media sosial dan keadaan ini menyebabkan politik tidak matang.

“Mengundi ini bukan untuk suka-suka tetapi bagi memastikan masa depan generasi pada masa akan datang,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Pilihan Raya (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau di Taman Angsamas, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Presiden UMNO yang juga calon BN PRK DUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan; Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker, dan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Dalam pada itu, Hadi turut menyeru rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum supaya menghentikan perbalahan antara satu sama lain dan melaksanakan tanggungjawab mengundi pada Sabtu ini.

“Kewajipan memilih seorang pemimpin sangat besar. Justeru, perlu berhati-hati ketika mengundi dan pilih yang berkemampuan dan berwibawa,” katanya. – WD MY