PARIT BUNTAR, 2 JUN – PERTAHAN…. Masyarakat Islam di negara ini dinasihatkan supaya tidak fobia dengan sebarang penganjuran majlis di rumah ibadat agama lain kerana ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf, berkata majlis berbuka puasa anjuran Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, di Gurdwara Sahib pada Selasa lalu, tidak sepatutnya menjadi isu kerana tujuan utama penganjuran ialah untuk merapatkan hubungan antara masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Malah, katanya, majlis itu diadakan di kawasan dewan dan bukan dibuat di dalam tempat ibadat itu.

“Ini bukan isu yang perlu diperbesarkan, hanya sesetengah pihak sahaja yang mensensasikan isu agama, pemikiran sempit dan perkauman. Ini dibimbangi akan mewujudkan Islamofobia,” katanya.

Selain itu, Mujahid berkata, Islam tidak pernah menghalang mana-mana pihak berlainan agama untuk datang dan memasuki masjid selagi mereka tidak melakukan perkara bertentangan seperti menghina.

Dalam perkembangan lain, Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, semua projek pembangunan di sekolah tahfiz dan sekolah pondok di negara ini perlu diselesaikan selewat-lewatnya awal tahun depan.

Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM50 juta bagi sekolah tahfiz dan RM25 juta untuk sekolah pondok.

“Kalau ikut Prosedur Standard Operasi (SOP), permohonan sekolah itu hanya diberi bagi melaksanakan infrastruktur, termasuk untuk keselamatan, kebajikan serta kebersihan, dan bukan bagi bantuan gaji atau penganjuran program,” katanya. – WD MY