KUALA LUMPUR, OKTOBER 15: KELAS BAHASA….Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik atau mana-mana menteri boleh kemuka usul kepada parlimen untuk mewajibkan anggota Dewan Rakyat menjalani kursus bagi meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon berkata, usul berkenaan tidak boleh dikemukakan oleh pembangkang atau backbenchers.

“Kita lihat itu feedback (maklum balas) menteri, kalau nak jadi mandatori, masukkan dalam satu usul.

“Mana-mana menteri boleh usulkan perkara tersebut dan debat. Ini prosedur normal, ia tak boleh pembangkang dan backbenchers kemuka usul.

“Usul kena datang dari menteri kecuali usul individu secara persendirian, tapi asasnya menteri kena usulkannya,” katanya ketika diwawancara Malaysiakini baru-baru ini.

Sebelum ini Maszlee dilapor berkata anggota parlimen digalakkan mengikuti kursus bahasa Melayu yang ditawarkan Dewan Bahasa Pustaka (DBP) bagi memperbaiki kemahiran dalam pertuturan dan penulisan bahasa kebangsaan mereka.

Mengulas perkara itu, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Dr Mohamed Hatta Shaharom pula berkata anggota parlimen boleh mendaftar secara sukarela untuk mengikuti kursus berkenaan.

Ditanya mengenai penguasaan bahasa kebangsaan di kalangan anggota parlimen setakat ini, Rashid berkata walaupun secara umum beliau berpuas hati, penambahbaikan masih diperlukan.

“Saya lihat memang ada beberapa anggota parlimen bukan Melayu yang sangat baik penguasaannya.

“Saya ingat (pengusaan bahasa mereka) sangat baik dan (pada masa yang sama) mungkin ada beberapa ahli parlimen agak kurang (penguasaan bahasa Melayu).

“(Kursus bahasa) satu inisiatif yang baik untuk mereka kembali ke asas bahasa Melayu,” katanya.-MY WD