KUALA LUMPUR, OKTOBER 5: BUANG MASA…Seorang aktivis sosial meminta rakyat Malaysia memberi sokongan kepada kerajaan hari ini dan memberinya masa yang diperlukan untuk melaksanakan perubahan positif kepada Malaysia baharu.

Pengerusi Yayasan Kebajikan Sosial Tan Sri Robert Phang berkata rakyat telah memilih kerajaan baharu dan sekarang mereka mesti menaruh keyakinan kepadanya.

“Semua rakyat harus memberikan peluang yang cukup dan menyokong pemimpin yang baru dipilih supaya mereka dapat menjalankan tugas demi kepentingan rakyat dan negara.

“Kita harus bersatu-padu dan menunjukkan sokongan kita dalam perkara ini, bukan hanya dengan kata-kata tetapi melalui tindakan,” kata beliau kepada Bernama.

Phang juga berharap pemimpin dan menteri sekarang tidak menghabiskan terlalu banyak masa mendedahkan salahlaku kerajaan terdahulu sambil menambah mereka perlu terus memberi keutamaan kepada agenda pembaharuan kerajaan selaras dengan aspirasi rakyat.

“Menteri-menteri harus menyedari cabaran yang mendepani mereka dan rakyat meletakan harapan yang tinggi rakyat kepada mereka. Rakyat juga sedang memerhati dan meneliti.

“Jadi jangan membuang terlalu banyak masa untuk mendedahkan jenayah kerajaan terdahulu, marilah kita bergerak bersama ke arah membangunkan negara,” kata beliau.-MY WD