KUALA LUMPUR, 12 SEPT – CADANG….Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mencadangkan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) untuk menarik pembeli dari China dan Hong Kong bagi menyelesaikan isu lambakan rumah tak terjual di negara ini.

Kempen itu bagaimanapun katanya hanya terhad untuk rumah-rumah mewah tidak terjual yang bernilai RM100 bilion mengikut harga pasaran.

“Saya terfikir untuk menjual unit tak terjual, sekarang (kira-kira) RM100 bilion untuk pasaran rumah mewah. Saya tak bercakap tentang pasaran rumah (berharga) lebih murah.

“Adalah lebih murah (bagi warga Hong Kong) membeli rumah di Malaysia berbanding di Hong Kong.

“Saya pernah pergi ke satu unit apartment (di Hong Kong), 250 kaki persegi berharga RM3 juta. Saya kata, menteri pun tak mampu (nak beli),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Smart Cities Asia 2019 kali kelima di Pusat Persidangan Kuala Lumpur.

Namun, katanya perkara itu masih belum diputuskan dan akan dirujuk ke kabinet serta dibincangkan dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohammadin Ketapi.

Dalam perkembangan lain, Zuraida menepis kritikan beberapa pihak terhadap penjenamaan Program Perumahan Rakyat (PPR) yang didakwa akan menjejaskan golongan B40 (golongan berpendapatan terendah) untuk mendapatkan kediaman.

Katanya, penjenamaan semula itu dilakukan bagi menaikkan moral golongan B40 dan memberi jaminan bahawa biarpun dijenamakan semula, ia masih tetap mengutamakan golongan itu.

“Ya sudah tentu (mengutamakan B40). Hanya menamakan semula, kerana jika tidak penghuni PPR akan rasa rendah diri. Kita mahu naikkan moral mereka,” katanya.

Katanya, projek itu akan dijenamakan semula kepada satu nama baru yang tidak mahu didedahkannya buat masa sekarang.

“Saya cuma cakap, memang ada jenamakan semula dari PPR sekarang ini, jadi (istilah) rumah mampu milik. Kita ada nama (khas), tetapi saya tak mahu cakap sekarang. Nanti pertengahan September saya lancarkan,” katanya lagi.

Menurut Zuraida, rumah mampu milik itu nanti akan mempunyai keluasan lebih besar iaitu 900 kaki persegi dan berada di lokasi yang lebih strategik.

“Ia konsep berbeza daripada PPR sebelum ini,” katanya lagi.  – WD MY